Semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, MITI di bawah kepimpinan beliau telah memacu 18 Priority Economic Deliverables yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, memudah cara perdagangan dan menggalakkan kerjasama dalam sektor-sektor baharu seperti Kenderaan Elektrik (EV) dan Kecerdasan Buatan (AI). Beliau juga mengetuai rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat yang berjaya mengurangkan tarif import Amerika Syarikat daripada 25% kepada 19%, di samping memperoleh pengecualian bagi lebih 1,700 kod tarif serta mengekalkan akses kepada pasaran eksport yang signifikan.
Sebagai Menteri Kewangan ketika pandemik COVID-19, Tengku Zafrul mengetuai perumusan dan pelaksanaan lapan pakej rangsangan dan bantuan bernilai RM530 bilion. Beliau turut menerajui pembangunan Pelan Pemulihan Negara dan berjaya memperoleh kelulusan Parlimen bagi belanjawan bersifat pengembangan yang memfokuskan kepada pemulihan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan daya tahan perniagaan. Hasil daripada usaha tersebut, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 8.7% pada tahun 2022, yang merupakan kadar tertinggi dalam kalangan negara ASEAN pada tahun tersebut.
Sebagai penyokong kuat reformasi ekonomi dan pembangunan mampan, beliau aktif mempromosikan agenda ekonomi Malaysia di pelbagai forum antarabangsa berprestij termasuk World Economic Forum, Chatham House, Asia House, Reuters Next Asia, FT-Nikkei Forum, SCMP China Conference dan Milken Institute.
Sebelum menyertai perkhidmatan awam, Tengku Zafrul berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Berhad serta Presiden Komisaris PT Bank CIMB Niaga Tbk. Beliau juga pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di Maybank Investment Bank, Maybank Kim Eng Holdings, Citigroup Malaysia, Kenanga Holdings Berhad dan Avenue Securities, selain menubuhkan Tune Money Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan kewangan dalam talian tanpa embel-embel pertama di Asia.
Pada 10 Mei 2025, beliau telah dipilih tanpa bertanding sebagai Presiden ke-13 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2025 hingga 2029. Sepanjang kerjayanya, beliau sentiasa komited terhadap pembangunan belia, kemajuan sukan, celik kewangan dan pemerkasaan komuniti.
Tengku Zafrul memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol serta Ijazah Sarjana Sastera (MA) dalam Kewangan dan Pengurusan dari University of Exeter, United Kingdom. Beliau juga merupakan Fellow Chartered Banker di Asian Institute of Chartered Bankers.
Tengku Zafrul mendirikan rumah tangga bersama Raja Johanna Adrina Raja Arshad dan dikurniakan empat orang cahaya mata. Beliau juga berkhidmat sebagai Kapten Kehormat dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia.